Erti Kebenaran, Kebebasan & Kebahagiaan

Dalam dunia intelektual muslim moden, nama dan karya-karya Prof SMNA sudah diiktiraf bertahun-tahun lamanya, juga dijadikan sumber rujukan bagi para pengkaji dan ulama.

Pertama kali aku betul-betul dikenalkan dengan karya beliau adalah pada 2012, seingat akulah. Ketika itu aku diajak oleh rakan-rakan untuk menyertai perbincangan buku RUKM yang dibentang oleh sekumpulan pelajar dari Mansourah.

Aku terpana mendengar isi pembentangan mereka. Sesuatu yang betul-betul di luar kotak pemikiran aku. Lalu timbul sedikit perasaan kesal di dalam hati. Sudah kesekian kali aku mendengar nama Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tetapi tidak pernah aku cuba menggali apa lagi karya-karya beliau. Sesekali mendengar namanya di dalam buku sejarah, rupanya tidak cukup untuk menimbulkan rasa ingin tahu untuk mengenali sosok tubuh ini.

Tak apalah. Better late than never.

Sejak dari perbincangan itu, aku teruja. Aku sering mengambil kesempatan untuk menyertai perbincangan begitu, dan aku rasa itulah titik permulaan aku jatuh cinta dengan diskusi ilmiah. Tidak lagi dibosankan dengan topik-topik silibus usrah yang membosankan. Aku juga cuba untuk menyelami sendiri karya-karya tulisan beliau, begitu juga anak-anak murid beliau seperti Prof Wan Mohd Nor.

Setakat aku menulis ini, aku pernah membaca bukunya yang berjudul ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’, ‘On Justice and the Nature of Man’, dan buku anak muridnya, ‘Budaya Ilmu: Satu Penjelasan’.

Buku RUKM, belum lagi selesai dibaca. Adalah sedikit masalah teknikal yang menghalang.

Untuk aku membaca karya yang berat sebegini, memang mengambil masa yang agak lama. Aku seorang pembaca fiksyen tegar, jadi apabila aku seolah-olah dilontarkan dengan berbagai jargon dan ayat-ayat ilmiah dan bersifat intelektual, membuatkan aku pening dan perlu sering membaca satu-satu ayat berulang kali.

Memang menguji minda. Boleh berasap dibuatnya.

Dan sekarang aku memutuskan untuk mula membaca karyanya semula. Sampai bila aku hendak berada dalam zon selesa membaca? Sekali sekala perlu juga buku begini disentuh dan dihadam, bukan?

Aku lalu memilih buku berwarna merah dengan tajuk Ma’na Kebahagiaan dalam Islam yang sebenarnya adalah terjemahan oleh anak muridnya sendiri dari karya asalnya The Meaning and Experience of Happiness in Islam yang kemudiannya dimuatkan di dalam adikarya Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

Saat mula membacanya, aku terjumpa beberapa baris di dalam perenggan yang menerangkan tentang konsep kebebasan yang berlainan dengan yang sering difahami oleh kita semua.

Ad-Din, menurut Prof Al-Attas, adalah kembalinya kita kepada kebenaran atau kejadian yang asal. Kurang lebih begitulah.

Apakah kejadian asal kita?

Sebelum banyak jawapan yang menduga (macamlah ada yang membaca blog ni), biarlah aku jawab – menjadi hamba Allah yang taat setia.

Jadi, kebahagiaan dicapai apabila kita mencapai kebenaran sepertimana yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Kebahagiaan tercapai apabila tercapai kebenaran.

Kebenaran pula adalah Ad-Din.

Tercapai juga kebenaran, bermakna kita bahagia. Kita bukan sahaja bahagia, tetapi kita juga bebas.

Setakat ini, masih boleh ikut?

Kebenaran membawa kepada Ad-Din. Ad-Din membawa kita mengenal hakikat diri. Dan apabila kita kenal hakikat diri, kita mengecap kebahagiaan sebenar.

Dan ketika itu kita bebas.

Bebas?

Menurut kamus, bebas adalah;

  1. Tidak terhalang (untuk bergerak, bercakap, dan lain-lain), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa
  2. lepas daripada kewajipan (tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dan lain-lain)
  3. merdeka (tidak dikuasai oleh negara lain)

 

Penulis juga ada menulis bahawa bezanya manusia dan malaikat adalah manusia diberi pilihan. Dan ketika manusia memilih yang baik, martabatnya diangkat lebih tinggi dari malaikat, kerana dia boleh saja memilih yang buruk, tetapi tidak.

Dan ikhtiar, memilih yang baik, adalah kebebasan sebenar.

 

Tapi, bukankah bebas itu sepatutnya tidak bersyarat? Bukankah kalau kita benar-benar bebas, kita boleh memilih yang buruk juga? Mengapa hanya boleh memilih yang baik sahaja?

 

Sebenarnya persepsi kita mengenai kebenaran ini mungkin terbalik. Sepatutnya kita harus memahami dahulu hakikat diri kita, barulah kita boleh memahami erti kebebasan sebenar.

Setelah kita mengerti bahawa fitrah diri kita yang sebenar adalah hamba Allah (yang mana hamba pastinya tidak bebas mutlak tetapi terlingkung dengan suruhan tuannya), maka apabila kita kembali kepada fitrah, kembali kepada hakikat diri kita yang sebenar, kita bebas. Bebas dari cengkaman jahiliah, bebas dari kejahatan, bebas dari murka Allah. Bebas dari kepalsuan.

Apabila kita memilih sesuatu yang baik, maka sebenarnya kita betul telah bebas.

Analoginya begini,

Cuba bayangkan, apabila pokok membesar mekar, lalu masuk ke celah-celah rekahan dinding, adakah pokok itu bebas?

Apabila terdapat pilihan untuk membesar ke atas atau ke dalam dinding, adakah dia bebas apabila memilih untuk mekar di dalam dinding?

Akhirnya, pokok itu tidak dapat lagi membesar dan terhalang oleh dinding itu. Lalu menafikan hak dirinya untuk kembang membesar dengan gah dan bebas.

Pilihan yang buruk akhirnya mencengkam pokok tadi dalam kekurungan.

Jadi, haruslah kita faham bahawa Kebahagiaan, Kebenaran, dan Kebebasan semuanya saling terkait.

Dengan kebenaran, kita bebas. Dan apabila kita bebas, maka kita bahagia.

Fuh bukan main berbelit.

 

 

Wallahua’lam.

1. ASSALAMUALAIKUM

Aku tahu, medium blog sebenarnya sudah mati. Tiada siapa membaca blog. Kalau ada pun, penuh gambar dan tips-tips travel, tips membeli rumah, tips berkahwin dan sebagainya.

Tiada siapa yang peduli lagi.

Jadi, mengapa aku menulis?

Entahlah. Sukar untuk aku garap alasan sebenar mengapa aku memulakan blog ini. Latihan penulisan? Ya. Tapi bukan sekadar itu.

Mungkin sebab paling jujur sebenarnya adalah cemburu. Aku cemburu melihat tulisan kawanku di blognya yang matang dan punya pengisian. Blog lamaku, sampah. Ya, mungkin ada beberapa pos yang boleh diambil manfaatnya, tetapi tidak cukup matang bagiku. Mungkin ini adalah satu permulaan baru. Satu percubaan baru. Sebulan sebelum memasuki tahun baru, aku berazam untuk menjaga blog ini dan memanfaatkannya sebaiknya, walaupun tiada siapa yang akan membacanya.

Kerana, medium blog sudah mati.

 

Tapi, jika ada di antara kalian yang membaca, terima kasih aku ucapkan.

Dan tahniah kerana masih lagi membaca.