Erti Kebenaran, Kebebasan & Kebahagiaan

Dalam dunia intelektual muslim moden, nama dan karya-karya Prof SMNA sudah diiktiraf bertahun-tahun lamanya, juga dijadikan sumber rujukan bagi para pengkaji dan ulama.

Pertama kali aku betul-betul dikenalkan dengan karya beliau adalah pada 2012, seingat akulah. Ketika itu aku diajak oleh rakan-rakan untuk menyertai perbincangan buku RUKM yang dibentang oleh sekumpulan pelajar dari Mansourah.

Aku terpana mendengar isi pembentangan mereka. Sesuatu yang betul-betul di luar kotak pemikiran aku. Lalu timbul sedikit perasaan kesal di dalam hati. Sudah kesekian kali aku mendengar nama Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tetapi tidak pernah aku cuba menggali apa lagi karya-karya beliau. Sesekali mendengar namanya di dalam buku sejarah, rupanya tidak cukup untuk menimbulkan rasa ingin tahu untuk mengenali sosok tubuh ini.

Tak apalah. Better late than never.

Sejak dari perbincangan itu, aku teruja. Aku sering mengambil kesempatan untuk menyertai perbincangan begitu, dan aku rasa itulah titik permulaan aku jatuh cinta dengan diskusi ilmiah. Tidak lagi dibosankan dengan topik-topik silibus usrah yang membosankan. Aku juga cuba untuk menyelami sendiri karya-karya tulisan beliau, begitu juga anak-anak murid beliau seperti Prof Wan Mohd Nor.

Setakat aku menulis ini, aku pernah membaca bukunya yang berjudul ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’, ‘On Justice and the Nature of Man’, dan buku anak muridnya, ‘Budaya Ilmu: Satu Penjelasan’.

Buku RUKM, belum lagi selesai dibaca. Adalah sedikit masalah teknikal yang menghalang.

Untuk aku membaca karya yang berat sebegini, memang mengambil masa yang agak lama. Aku seorang pembaca fiksyen tegar, jadi apabila aku seolah-olah dilontarkan dengan berbagai jargon dan ayat-ayat ilmiah dan bersifat intelektual, membuatkan aku pening dan perlu sering membaca satu-satu ayat berulang kali.

Memang menguji minda. Boleh berasap dibuatnya.

Dan sekarang aku memutuskan untuk mula membaca karyanya semula. Sampai bila aku hendak berada dalam zon selesa membaca? Sekali sekala perlu juga buku begini disentuh dan dihadam, bukan?

Aku lalu memilih buku berwarna merah dengan tajuk Ma’na Kebahagiaan dalam Islam yang sebenarnya adalah terjemahan oleh anak muridnya sendiri dari karya asalnya The Meaning and Experience of Happiness in Islam yang kemudiannya dimuatkan di dalam adikarya Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

Saat mula membacanya, aku terjumpa beberapa baris di dalam perenggan yang menerangkan tentang konsep kebebasan yang berlainan dengan yang sering difahami oleh kita semua.

Ad-Din, menurut Prof Al-Attas, adalah kembalinya kita kepada kebenaran atau kejadian yang asal. Kurang lebih begitulah.

Apakah kejadian asal kita?

Sebelum banyak jawapan yang menduga (macamlah ada yang membaca blog ni), biarlah aku jawab – menjadi hamba Allah yang taat setia.

Jadi, kebahagiaan dicapai apabila kita mencapai kebenaran sepertimana yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Kebahagiaan tercapai apabila tercapai kebenaran.

Kebenaran pula adalah Ad-Din.

Tercapai juga kebenaran, bermakna kita bahagia. Kita bukan sahaja bahagia, tetapi kita juga bebas.

Setakat ini, masih boleh ikut?

Kebenaran membawa kepada Ad-Din. Ad-Din membawa kita mengenal hakikat diri. Dan apabila kita kenal hakikat diri, kita mengecap kebahagiaan sebenar.

Dan ketika itu kita bebas.

Bebas?

Menurut kamus, bebas adalah;

  1. Tidak terhalang (untuk bergerak, bercakap, dan lain-lain), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa
  2. lepas daripada kewajipan (tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dan lain-lain)
  3. merdeka (tidak dikuasai oleh negara lain)

 

Penulis juga ada menulis bahawa bezanya manusia dan malaikat adalah manusia diberi pilihan. Dan ketika manusia memilih yang baik, martabatnya diangkat lebih tinggi dari malaikat, kerana dia boleh saja memilih yang buruk, tetapi tidak.

Dan ikhtiar, memilih yang baik, adalah kebebasan sebenar.

 

Tapi, bukankah bebas itu sepatutnya tidak bersyarat? Bukankah kalau kita benar-benar bebas, kita boleh memilih yang buruk juga? Mengapa hanya boleh memilih yang baik sahaja?

 

Sebenarnya persepsi kita mengenai kebenaran ini mungkin terbalik. Sepatutnya kita harus memahami dahulu hakikat diri kita, barulah kita boleh memahami erti kebebasan sebenar.

Setelah kita mengerti bahawa fitrah diri kita yang sebenar adalah hamba Allah (yang mana hamba pastinya tidak bebas mutlak tetapi terlingkung dengan suruhan tuannya), maka apabila kita kembali kepada fitrah, kembali kepada hakikat diri kita yang sebenar, kita bebas. Bebas dari cengkaman jahiliah, bebas dari kejahatan, bebas dari murka Allah. Bebas dari kepalsuan.

Apabila kita memilih sesuatu yang baik, maka sebenarnya kita betul telah bebas.

Analoginya begini,

Cuba bayangkan, apabila pokok membesar mekar, lalu masuk ke celah-celah rekahan dinding, adakah pokok itu bebas?

Apabila terdapat pilihan untuk membesar ke atas atau ke dalam dinding, adakah dia bebas apabila memilih untuk mekar di dalam dinding?

Akhirnya, pokok itu tidak dapat lagi membesar dan terhalang oleh dinding itu. Lalu menafikan hak dirinya untuk kembang membesar dengan gah dan bebas.

Pilihan yang buruk akhirnya mencengkam pokok tadi dalam kekurungan.

Jadi, haruslah kita faham bahawa Kebahagiaan, Kebenaran, dan Kebebasan semuanya saling terkait.

Dengan kebenaran, kita bebas. Dan apabila kita bebas, maka kita bahagia.

Fuh bukan main berbelit.

 

 

Wallahua’lam.

Advertisements

Industri Yang Kian Lesu

Beberapa hari yang lalu, aku singgah ke kedai buku MPH untuk memperbaharui keahlian (walaupun hakikatnya aku jarang beli buku di sana. Tapi demi diskaun, aku buat juga). Ketika itu mereka sedang mengadakan’pesta buku’ kecil-kecilan. Oleh kerana lokasi kedai ini yang sedikit tersorok di dalam Mall yang agak lapang di bahagian bawah, seolah-olah tiada pengunjung yang menyedari akan jualan dengan diskaun bertubi-tubi ini. Sambil meronda-ronda, aku agak terkejut melihatkan kualiti buku yang dijual. Sangkaan aku bahawa buku-buku zaman sekarang semuanya sudah turun taraf, tetapi tidak. Buku-buku yang dijual membawa tajuk dan perbincangan yang bagus, dan sesuai untuk berbagai-bagai usia pembacaan. Ada yang bagus untuk kanak-kanak, remaja, dan ada juga tajuk-tajuk yang mencabar minda untuk orang yang sukakan cabaran dalam pembacaan.

Jadi di mana silapnya? Mengapa masyarakat kita tidak membeli?

Semasa aku sedang leka mengisi borang keahlian, aku berbual basa-basi dengan abang yang sedang menjaga kaunter.

“Bang, ramai ke orang datang beli buku kat sini?”

“Ramailah jugak kalau hujung minggu. Kalau hari-hari macam ni, kuranglah sikit.”

Dia menjelaskan kepada aku bahawa memang sekarang industri buku sudah berkurang jualannya. Aneh, kerana buku yang dijual di negara kita agak murah jika ingin dibandingkan dengan negara-negara lain. Kata abang itu, ramai pelancong yang mengambil kesempatan memborong buku di sini kerana harganya agak murah berbanding di negara kita.

Kebetulan ketika itu aku ingin membeli sebuah buku karya John Green yang terbaru, ‘Turtles All The Way Down’ dan aku lihat tag harganya.

US: $19.99

CANADA: $25.99

Aku keluarkan telefon bimbit dan membuka aplikasi XE Currency.  Apabila ditukar ke Ringgit Malaysia, lebih kurang sahaja. Mungkin yang dijual di Malaysia murahlah sedikit. Tetapi USD20 bagi mereka mungkin lebih kecil dari RM80 bagi rakyat Malaysia.

Dalam perjalanan pulang, aku berfikir sendiri. Di mana silapnya? Mengapa rakyat Malaysia tidak membaca? Jika kita mahu salahkan para penulis, tak boleh juga. Zaman ini sudah banyak karya-karya yang diterjemah ke dalam bahasa kebangsaan, baik fiksyen ataupun berbentuk kitab-kitab tradisi dari timur tengah. Begitu juga dengan buku-buku terbitan Malaysia. Kita sudah ada berbagai genre buku, tetapi peratus jualan dan bacaan masih juga menurun. Kedai buku dilambakkan dengan buku-buku yang tiada pembelinya.

Sejujurnya, aku sendiri tak jumpa solusi bagi masalah ini. Mungkin, sekadar mungkin, apa yang kita boleh lihat adalah memperkukuhkan tiga jihat ini;

PENULIS

Kita perlu melahirkan lebih banyak lagi barisan penulis yang kreatif dan menulis buku-buku yang berfaedah kepada masyarakat. Aku lihat, kita masih lagi ketandusan buku untuk kanak-kanak yang sesuai untuk zaman ini. Bagaimana mahu kita pupuk budaya membaca sedari awal jika kita tiada sumber buku untuk diberikan kepada anak-anak ini? Buku-buku ilmiah untuk usia muda yang berkualiti seringkali ditulis dalam Bahasa Inggeris, dan Bahasa Melayu ketinggalan. Ada, ya, tetapi sangat sedikit. Mana buku-buku kisah nabi dan sahabat dengan ilustrasi yang berkualiti dan menarik?

Kreatif, berani, dan bermanfaat. Kerana jika kita hendak menulis karya-karya ringan tahap picisan, budaya membaca mungkin dapat diangkat, tetapi tidak berkekalan. Apabila ia tidak lagi dianggap trend, maka tiada lagi yang membelinya.Buku-buku yang menarik dan berkualiti, walaupun nampak sukar untuk dijual, tetapi jika dipupuk untuk membaca bahan bacaan sebegini, ia akan lebih berkekalan.

 

PROMOSI

Baik dari segi kulit buku, diskaun, pesta buku, iklan-iklan di laman sosial, kelab-kelab buku sehinggalah ke ejen yang menjual buku kepada rakan-rakan.

Sungguh, kita kesuntukan pembaca sekarang. Mungkin dari setiap 10 rakyat Malaysia, hanya satu yang serius membaca. Maka menjadi tanggungjawab yang seorang inilah untuk memupuk budaya membaca kepada anak-anak mereka, adik-adik, atau membuka dan membudayakan membaca di kawasan masing-masing. Mulakan dengan generasi kita, dan kita-kita yang sedikit inilah pula harus membentuk generasi akan datang untuk menjadi generasi membaca semula, InsyaAllah.

 

PEMBACA

Kita yang sudah tidak lagi membaca sekerap dulu, ayuh kita budayakan semula. Wujudkan group Whatsapp untuk membaca. Kadang-kadang kekuatan untuk membaca hilang kerana tiada lagi dalam kalangan kawan-kawan kita yang juga membaca. Jadi, bagaimana kalau kita trend kan semula membaca. Samada pilih masa yang sesuai untuk berkumpul dan membaca, atau pilih buku yang sama, kemudian boleh dibincang usai membacanya.

Pendek kata, tarik seorang kawan, dan bacalah buku bersama-sama.

 

Semoga kita teruskan membaca.

 

Kita & Gelandangan

Kali pertama rakyat Malaysia mendapat pendedahan tentang golongan gelandangan barangkali sekitar tahun 2013. Dan mungkin ada yang lebih awal dari itu. Kita diperkenalkan dengan geng-geng Weekenders Club, Projek Nasi Bungkus dan Dapur Jalanan sebagai contoh. Apa yang mereka usahakan adalah suatu yang mulia, kerana langkah pertama mereka telah diikuti oleh ratusan dan mungkin ribuan kaki lagi kemudiannya.Bayangkan pahala yang mereka perolehi kerana mencetuskan satu budaya yang amat mulia ini.

Semalam, 11/3/2017, aku diajak oleh seorang kawan untuk menyertai program sebegini. Aku yang hanya berselipar ketika itu, agak tertarik untuk menyertai kerana jarang sekali aku dapat terlibat dengan program-program begini. Setibanya ke lokasi pengumpulan peserta, aku kagum melihat variasi sukarelawan yang hadir. Ada yang doktor, ada jurutera, ada artis (melukis, bukan selebriti) dan ada juga yang menganggur, macam aku. Mereka berkumpul membawa agenda yang satu, hasrat murni yang jitu. Untuk pertama kali aku menyertai program begini di Malaysia, mahu tak mahu hatiku sedikit berbunga, rakyat Malaysia masih cakna.

Para sukarelawan berjumlah kurang lebih 200 orang, terdiri daripada lelaki dan wanita, budak-budak sehinggalah 40-an, pelajar mahupun yang sudah bekerja. Kami bersiap siaga untuk mengedarkan makanan sekitar 500 bungkus kepada golongan gelandangan yang tidur di kaki lima Kuala Lumpur.

Aku dan kawan-kawanku mengikut satu pecahan yang dikepalai oleh pihak penganjur, berjalan kira-kira 3km (aku sebenarnya tak tahu, tapi yang pasti aku berpeluh sehingga lencun jugalah), dan jalanraya Kuala Lumpur malam itu tiba-tiba ‘hidup’. Ratusan sukarelawan berjalan beramai-ramai membawa beg plastik berwarna kuning mencari golongan yang kurang bernasib baik untuk menghulurkan sedikit bantuan. Sayangnya, mungkin susunan logistik kami masih belum cukup meluas, hampir separuh daripada makanan kami tidak terusik. Plastik yang aku pegang, aku usung sehingga kami tiba semula di kawasan permulaan.

Akhirnya pihak penganjur meminta kami mengumpulkan semula plastik-plastik tersebut. Kami duduk, menunggu arahan seterusnya. Ketika itulah kami dimaklumkan bahawa kami adalah kumpulan ke-6 yang melakukan aktiviti tersebut pada malam itu! Bayangkan, kalau kumpulan kami ada 200, bagaimana pula dengan kumpulan-kumpulan yang lain?

Aku teringat, sekitar dua tahun lalu, adikku pernah menceritakan pengalamannya memberi makan pada gelandangan seperti itu. Ironinya, salah seorang pakcik di situ memberikan nasihat kepadanya,

“Korang kena bekerjasama dengan orang-orang lain. Dah ramai sangat buat benda ni, sampai kadang-kadang makanan jadi membazir. Satu malam sampai dua tiga kali orang bagi makanan. Kalau korang plan ramai-ramai malam ni giliran siapa, contohnya, pasti lagi baik”.

Ada betulnya juga kata pakcik itu. Setiap malam minggu, lambakan sukarelawan di Kuala Lumpur berlumba-lumba melakukan pekerjaan mulia ini. Tetapi adakah apa yang kita lakukan ini memberikan impak? Berkesankah ia? Atau hanya seronok-seronok saja?

Kerana kalau kita benar-benar kasihankan mereka, pastinya kita risaukan makan minum mereka setiap malam, bukan pada malam minggu saja. Tapi aku juga sedar, malam lain, tidak ramai yang punya masa dan kelapangan untuk turun padang.

Entahlah. Aku rasa kita, rakyat Malaysia, boleh lakukan lebih baik dari ini. Semoga akan ada usaha selepas ini untuk berbincang bersama bagaimana untuk selaraskan perkara ini. Kita juga harus menjadi lebih kreatif. Beri makan satu malam tidak dapat menyelesaikan masalah mereka. 2013 sehinggalah 2017, dan masalah ini masih lagi tidak selesai. Langkah juga masih lagi kecil seperti dahulu. Andai kata kita dapat memberikan bantuan dalam bentuk tempat tingal, pekerjaan, ekonomi atau pendidikan, itu aku kira lebih baik.

Tiada apa yang mustahil. Jika sumbangan terkumpul semalam dapat dikumpulkan sebanyak RM11,000 , maka kita juga tidak usah takut untuk bercita-cita besar. Insya-Allah, lapangan sukarelawan akan kekal meriah dengan berbagai-bagai aktiviti dan bentuk bantuan, dalam membentuk masyarakat yang lebih harmonis.

1. ASSALAMUALAIKUM

Aku tahu, medium blog sebenarnya sudah mati. Tiada siapa membaca blog. Kalau ada pun, penuh gambar dan tips-tips travel, tips membeli rumah, tips berkahwin dan sebagainya.

Tiada siapa yang peduli lagi.

Jadi, mengapa aku menulis?

Entahlah. Sukar untuk aku garap alasan sebenar mengapa aku memulakan blog ini. Latihan penulisan? Ya. Tapi bukan sekadar itu.

Mungkin sebab paling jujur sebenarnya adalah cemburu. Aku cemburu melihat tulisan kawanku di blognya yang matang dan punya pengisian. Blog lamaku, sampah. Ya, mungkin ada beberapa pos yang boleh diambil manfaatnya, tetapi tidak cukup matang bagiku. Mungkin ini adalah satu permulaan baru. Satu percubaan baru. Sebulan sebelum memasuki tahun baru, aku berazam untuk menjaga blog ini dan memanfaatkannya sebaiknya, walaupun tiada siapa yang akan membacanya.

Kerana, medium blog sudah mati.

 

Tapi, jika ada di antara kalian yang membaca, terima kasih aku ucapkan.

Dan tahniah kerana masih lagi membaca.